Thailand dipercayai menjadi salah sebuah negara yang mempunyai jumlah populasi terbesar di dunia yang melakukan pembedahan penukaran jantina.
VALEE Pancharoen menyaksikan sendiri perubahan anak lelakinya yang semakin meningkat remaja. Pertama dia mewarnakan kukunya, kemudian memakai rambut palsu dan akhirnya berpakaian seperti wanita yang telah dipakainya sejak dahulu tetapi disorokkan daripada pengetahuan ibu bapanya.
Kini, perubahan Ponchalearm, 18, semakin ketara dengan tubuhnya yang ramping dan memakai pakaian seksi.
Keluarganya kini telah membincangkan sama ada Ponchalearm sudah bersedia untuk melakukan penukaran jantina.
“Ini kehidupan saya dan saya telah mengambil keputusan bahawa saya perlu melakukannya sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Saya rasa gembira dengan apa yang dilakukan ini. Ia begitu seronok di mana saya boleh menampilkan diri saya seperti yang diingini. Saya bertuah kerana mempunyai rakan-rakan dan keluarga yang memahami diri saya,” kata Ponchalearm.
Ketika dia bercakap, ibunya dengan perlahan mencelah untuk melahirkan kebimbangannya bahawa Ponchalearm terlalu muda untuk memahami kesan jangka panjang terhadap keputusan yang bakal dibuatnya kelak.
“Cuba pertimbangkan perkara ini. Awak masih terlalu muda. Banyak masa lagi untuk memikirkannya. Kalau boleh, buat keputusan yang tepat untuk melalui kehidupan yang sempurna,” katanya.
Sejak dua tahun lalu, Ponchalearm begitu teruja dan ingin sekali menjalani pembedahan menukar jantina. Kini, pada usia 18 tahun, di bawah peraturan kesihatan Thailand yang baru, dia boleh membuat keputusan sendiri secara sah.
Peraturan tersebut mula diperkenalkan pada April lalu selepas pihak berkuasa kesihatan menjadi cemas dengan cerita dan debat dalam kalangan orang awam mengenai remaja bawah umur yang mahu menukar jantina mengikut kehendak sendiri.
Beberapa aktivis gay dan ibu bapa bimbang mengenai potensi atau kesan yang bakal diterima oleh tubuh terhadap pembedahan di mana mereka berharap usia bagi membuat sebarang keputusan sendiri harus ditingkatkan kepada 20 tahun.
“Mereka cuba melakukan segalanya untuk menjadikan diri mereka kelihatan seperti wanita sejati. Kenapa mereka tidak boleh lupakan tentang kecantikan luaran dan melihat apa yang ada di dalam hati?,” kata Ketua Kumpulan Politik Gay Thailand, Nathee Teerarojanapong.
Thailand dipercayai menjadi salah sebuah negara yang mempunyai jumlah populasi terbesar di dunia yang melakukan pembedahan menukar jantina. Pakar akademik menganggarkan sekurang-kurangnya 10,000 rakyat Thailand hidup sebegini meskipun jumlah sebenar adalah 10 kali ganda lebih ramai.
Pembedahan untuk membuang alat sulit lelaki hanya mempunyai sedikit risiko pada fizikal tetapi kesan sampingan hormon dadah yang mesti diambil untuk mempercepatkan perubahan daripada lelaki kepada wanita boleh menyebabkan pertambahan berat badan, kehilangan otot dan nafsu berahi serta sentiasa merasa penat.
Selain daripada kesan psikologi, beberapa doktor yang pakar dalam pertukaran jantina menegaskan bahawa kesan sampingan fizikal yang diterima adalah dibesar-besarkan.
“Sebenarnya tiada kesan sampingan yang serius. Orang ramai cuma memperkatakan tentang perkara yang mereka tidak ketahui. Aktivis-aktivis ini melukakan hati individu yang melakukan perubahan jantina,” kata Thep Vechavisit, doktor yang mengetuai pembedahan penukaran jantina di Thailand.
Langkah terbaru kini memerlukan lelaki mempertimbangkan keputusan mereka selama setahun dan berjumpa pakar psikologi untuk menjalani pemeriksaan terhadap kesesuaian dan persediaan mental sebelum melakukan pembedahan.
“Biasanya, mereka adalah orang yang terlalu muda apabila membuat keputusan untuk berubah menjadi wanita sepenuhnya. Mereka datang dan menyatakan kesediaan. Sepanjang 20 tahun terlibat dalam kes sebegini, saya hanya mempunyai seorang pesakit yang datang dan berkata ‘doktor, saya mahukan zakar saya kembali’,” kata Thep.
Dalam kes Ponchalearm pula, ibunya sanggup menurut kehendak anak lelakinya itu demi melihatnya bahagia.
“Kalau boleh, saya tidak mahu dia melakukan perubahan besar seperti ini. Malah saya mahu dia terus kekal sebagai lelaki sejati sama seperti ketika dia dilahirkan. Tetapi saya hormati kehendaknya. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap anak saya,” ujar Valee. – AFP
-arkibkosmo